Tanpa Akta Antilompat Parti, sukar kaitkan pelaku dengan jenayah – Zahid

0
1
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

CADANGAN mewujudkan Akta Antilompat Parti dan Pemecataan Ahli Parlimen 2021 adalah wajar, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana katanya, setakat ini tiada sebarang akta atau undang-undang dalam negara berkaitan lompat parti sedangkan ia berlaku secara berleluasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita pernah menyaksikan begitu ramai wakil rakyat sewenang-wenang lompat parti selepas PRU14. Tanpa mempedulikan tentang rakyat mengundi mereka atas dasar parti politik yang mereka wakili.

“Ini suatu lagi penipuan terhadap pengundi selain daripada penipuan manifesto. Sewajarnya kerusi kawasan itu dipertandingkan semula bagi mengabsahkan pilihan pengundi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata tanpa akta berkenaan, pihak berkuasa juga sukar untuk mengaitkan mana-mana perbuatan lompat parti dengan unsur jenayah, terutama dalam mengaitkan pihak terbabit yang kemudian mendapat jawatan dengan anasir sogokan.

Tambahnya, lompat parti juga adalah gejala yang boleh menghakis keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi negara.

Pada 2 September lalu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, menghantar notis cadangan usul ‘Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021’ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Azalina berkata, usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Berdasarkan salinan notis cadangan usul itu yang disertakan Azalina, akta berkenaan dinamakan ‘Akta Pemecatan Ahli Dewan Rakyat 2021’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here