Mana politikus yang bersungguh bela arwah Adib masa jadi pembangkang?’ – Pembela

0
2

PERTUBUHAN-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) memulakan langkah mendapatkan keadilan terhadap kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tiga tahun lalu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya, berkata beberapa perkara utama perlu ditekankan mengenai kes kematian Muhammad Adib setelah perkembangan terkini menyatakan kes tersebut ditutup.

Beliau juga mempertikaikan adakah kerajaan mengambil langkah serius dalam siasatan kes kematian anggota penjawat awam itu.

“Kenapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang membuat pengumuman penutupan manakala Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdiam diri.

“Di manakah politikus-politikus yang dahulunya bersungguh-sungguh membela Arwah Adib ketika menjadi pembangkang, dan kini berada di kerusi empuk? Apakah perlu sampai kita dedah muka seorang demi seorang?,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Aminuddin berkata, Pembela sedang mengumpul tenaga dan menyusun tindakan seterusnya dengan pelbagai pihak.

“Maka kerajaan nantikan sahaja jika kes ini terus dibuat mainan.

“Apakah kes ini bakal dibakulsampahkan? Dan adakah ianya kerana Adib adalah rakyat marhaen biasa, bukan orang kenamaan?,” ujarnya.

25 September lalu, media melaporkan kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here