PENGUATKUASAAN larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka di ibu negara yang dijadual berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2021 akan dimuktamadkan hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia dibincang dan diputuskan Lembaga Eksais Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Projek Khas yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan peraturan baharu tersebut.
“Ada kerja yang memerlukan kehadiran menteri dan ada di peringkat pegawai sahaja. Biasanya ada yang memerlukan campur tangan menteri apabila ia tidak dapat diputuskan.
“Bagaimanapun sebelum esok akan diberitahu keputusannya,” katanya kepada media selepas melawat Kompleks Komuniti Muhibah, Kuala Lumpur hari ini.
Pada September tahun lalu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras, antara lain menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan. – Malaysiapost

