Hampir 10,000 kematian Covid-19 bulan ini, Kit Siang tuntut penjelasan KJ

0
2

VETERAN DAP Lim Kit Siang, berkata September adalah bulan yang mencatatkan kes kematian paling tinggi akibat Covid-19 iaitu hampir mencecah 10,000 kematian.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin tidak lagi boleh berlengah dan mesti menjelaskan kedaaan itu serta langkah seajarnya untuk mengurangkan kes kematian.

“Menteri Kesihatan yang sudah sebulan dalam jawatan beliau, Khairy Jamaluddin, tidak boleh berlengah lagi dan perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini.

“Dalam 31 hari pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan sejak mengangkat sumpah pada 30 Ogos, jumlah kematian terkumpul akibat Covid-19 adalah 9,550 kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, jumlah kematian untuk Ogos dan September sahaja membentuk kira-kira 73 peratus jumlah kematian keseluruhan akibat Covid-19 dalam negara.

Katanya, lebih membimbangkan lagi apabila kematian pada September adalah lebih tinggi berbanding dengan Ogos.

“Malah, jumlah kematian dalam dua minggu kedua Khairy menjadi Menteri Kesihatan adalah lebih tinggi berbanding dengan dua minggu pertama beliau.

“Mengambil kira tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19 walaupun varian Delta mempunyai tempoh inkubasi yang lebih pendek selama hanya empat hari.

“Khairy perlu menjelaskan, apakah yang sedang dilakukan untuk menurunkan peningkatan mendadak kematian akibat Covid-19 ini. Atau adakah kita perlu menjangkakan 10,000 lagi kematian dalam bulan Oktober?,” soalnya

Kit Siang turut mengemukakan jumlah kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia yang disifatkannya amat membimbangkan.

Pada 31 Julai lalu Malaysia mencatatkan 9,024 jumlah kes kematian sebelum meningkat kepada 16,664 (31 Ogos) dan sehingga semalam 26,142 kes kematian direkodkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here