MAJLIS PIMPINAN TERTINGGI (MPT) Bersatu sebulat suara bersetuju melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu yang pertama.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti itu percaya pelantikan Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mampu menarik sokongan ahli baharu dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
“MPT Bersatu mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan percaya bahawa pelantikan Santhara mampu menarik lebih banyak penyertaan ahli-ahli bersekutu.
“Seterusnya meningkatkan sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat kepada Bersatu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Santhara yang juga bekas Ahli Parlimen PKR menyertai Bersatu secara rasmi pada Ogos tahun lalu, sekali gus menjadikan beliau Ahli Parlimen bukan Bumiputera tunggal menyertai parti tersebut.
Pada 24 Februari 2020, beliau antara 11 Ahli Parlimen PKR didakwa mengisytiharkan keluar parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Hamzah berkata Persidangan Agung Tahunan Bersatu 2021 akan diadakan pada 18 hingga 19 Disember ini.
Katanya, persidangan bagi peringkat cawangan akan diadakan pada 9 hingga 30 Oktober, manakala persidangan bahagian bermula 12 hingga 14 November.
“Persidangan-persidangan itu akan dilakukan secara fizikal, maya atau ‘hybrid’ bergantung kelulusan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

