SETELAH enam tahun menanti, Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi yang dikenali sebagai D’Laman Rasa bakal memulakan operasi secara rasmi, Oktober ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata pusat penjaja ini akan menempatkan semula penjaja-penjaja tepi jalan sekitar Pekan Sungai Besi.
“Pusat penjaja ini menempatkan semula penjaja-penjaja tepi jalan sekitar Pekan Sungai Besi dan mereka yang beroperasi di hadapan Pasaraya Hari-Hari.
“Sebahagian besar mereka ini terlibat dengan projek pengindahan dan pelebaran jalan di pekan ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Lesen Perniagaan buat Penjaja D’Laman Rasa di Sungai Besi, dipetik portal Wilayahku.
Shahidan berkata, kadar sewaan telah ditetapkan antara RM240 hingga RM300 sebulan dan pengecualian bayaran sewa turut diberikan sehingga Disember ini.
“Pengurangan bayaran fi lesen sebanyak 50 peratus turut diberikan kepada peniaga-peniaga terlibat,” katanya.
Menurut Shahidan, projek itu telah dimulakan pada tahun 2016 dan siap sepenuhnya pada tahun ini.
“Pusat penjaja ini juga mempunyai kira-kira 64 unit gerai dengan menyediakan kemudahan ‘kitchen hood’, tandas, surau, rumah sampah dan tempat letak kereta,” katanya.
Justeru, Shahidan berharap pusat penjaja ini dapat memberikan keselesaan bukan sahaja kepada penjaja untuk berniaga tetapi juga kepada pengunjung.
“Ia juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti mutu perniagaan dan juga hasil jualan kepada penjaja tersebut,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Youtube/Metro Tv

