Nilam Oshman
KELUARGA Muhammad Adib Mohd Kassim berharap kes anggota bomba itu tidak ditutup sepenuhnya, sebaliknya pihak berkuasa khususnya polis dapat terus menjalankan siasatan bagi membela kematian mangsa.
Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata pihaknya sekeluarga tetap berpegang teguh kepada keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 yang memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.
Mohd Kassim berkata berdasarkan maklumat diterimanya, kes kematian anaknya itu tidak ditutup namun fail siasatan ditutup untuk sementara, iaitu apabila ada petunjuk maka ia akan dibuka semula.
“Sekiranya kes Muhammad Adib ditutup, kami semestinya kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan itu. Namun kami tetap berpegang teguh kepada inkues mahkamah.
“Sebab-sebab kematian kita serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan. Justeru, kita harap polis akan mengambil tindakan dan mereka tidak sepatutnya tutup kes ini,” katanya kepada Malaysiapost.
Baru-baru ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib ditutup sementara.
Ahli Parlimen Ampang itu juga dilaporkan berkata kes akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk “terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib”. – Malaysiapost
Kredit Foto: Oh Media

