Jangan ketinggalan dalam industri ‘ganja’ – Syed Saddiq

0
2

[PARLIMEN] KERAJAAN perlu meluluskan segera industri penanaman hem bagi tujuan perubatan (medical marijuana) yang pasarannya dianggar mencecah hingga RM400 bilion dalam tempoh empat tahun lagi.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perbincangan berdasarkan data dan sains perlu dilakukan supaya Malaysia tidak ketinggalan dalam industri terbabit.

Bekas Menteri Beliau dan Sukan itu berkata, sehingga kini lebih 40 negara sudah melaksanakan industri terbabit termasuk negara jiran, Thailand.

“Ini bukan perkara baru kerana ketika dalam Kabinet ada kajian dilakukan secara terperinci dan perbincangannya mengikut data dan sains.

“Saya berharap supaya kerajaan dapat membentangkan satu kertas kerja telus dan ikhlas serta berpandukan data dan sains berkenaan baik buruknya kelulusan industri hem dan medical marijuana ini,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), hari ini.

Menurutnya, antara negara yang meluluskan industri hem atau medical marijuana adalah seperti Australia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Argentina dan Denmark.

“Nilai pasaran industri ini adalah RM60 bilion dan dianggarkan dalam masa empat tahun lagi akan mencecah RM400 bilion.

“Kita tidak mahu Malaysia terkebelakang dan ketinggalan lagi perbincangan isu ini hanya kerana ia sensitif dan kita tinggalkan ia begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kajian-kajian berdasarkan data dan sains yang dibentang sebelum ini juga menunjukkan sebagai contoh industri arak atau rokok jauh lebih merbahaya dari industri hem, namun malangnya tiada sokongan moral untuk membincangkannya.

“Saya ingin cadangkan untuk kerajaan adakan perbincangan dan penelitian khusus untuk kita lihat kelulusan industri hem dan medical marijuana.

“Kerana banyak anak muda di luar sana yang mengalami khususnya masalah kesihatan mental seperti bipolar yang boleh dibantu dengan industri ini sebagai rawatan alternatif seperti dilakukan negara lain,” katanya.

Syed Saddiq juga berharap kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas diwakili pelbagai kementerian bagi memastikan industri ini kelak dapat di kawal selia dengan baik.

“Kita perlu bincang perkara ini dan tidak mahu lagi ketinggalan apabila negara lain dah jauh ke hadapan tetapi kita hanya melakukannya 10 ke 20 tahun dari sekarang di mana ia sudah terlambat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here