BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sepakat mewujudkan satu sekretariat penyelarasan.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata sekretariat itu membabitkan semua parti dalam GRS, terdiri 10 orang yang akan memantapkan operasi bersama.
“Radu tetap radu (lawan dan terus lawan),” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan parti disertai BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai GRS selepas membentuk kerajaan negeri pada 26 September ini.
Perdana Menteri berkata gabungan itu akan bekerja sebagai satu pasukan yang sama-sama berjuang untuk memajukan Sabah.
Muhyiddin berkata, setiap parti dalam gabungan itu perlu mengenepikan perselisihan atau perasaan lama yang boleh menjejaskan kesatuan gabungan berkenaan. – Malaysiapost

