[PARLIMEN] SESI perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hari ini mencuri tumpuan apabila Datuk Seri Azalina Othman (BN-Pengerang) menyatakan sokongan kepada Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker ketiga Dewan Rakyat.
Segalanya bermula ketika Azalina yang juga bekas Timbalan Speaker berbahas mengenai tindakan kerajaan membuat rayuan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan anak-anak dilahir oleh warganegara Malaysia di luar negara untuk diberi kewarganegaraan secara automatik.
Azalina berkata beliau tidak faham mengapa kerajaan merayu keputusan mahkamah dan ia seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak berlaku adil kepada golongan wanita.
“Saa tak faham kanapa kerajaan dalam isu kewarganegaraan nak buat rayuan (keputusan Mahkamah Tinggi). Saya tak tahu apa ruginya.
“Ini saya nak cakap kepada Perdana Menteri dan sahabat-sahabat menteri, kalau kita nak berlaku adil, biar adil kepada semua. Kalau ibu tak dapat, bapa pun jangan bagi, seolah-olah wanita di Malaysia banyak kurang berbanding lelaki,” katanya.
Kor Ming kemudian bangun dan mencelah menyatakan beliau menyokong 100 peratus berkenaan isu yang dibangkitkan Azalina itu.
“Pengerang… kami sokong 100 peratus, minta kerajaan tarik balik rayuan dengan segera,” kata Kor Ming yang juga bekas Timbalan Speaker ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Azalina kemudian menjawab: “Saya sokong juga YB jadi Timbalan Speaker ketiga.”
Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa bayi yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia hasil perkahwinannya dengan lelaki bukan rakyat negara ini secara automatik berhak mendapat kerakyatan.
Bagaimanapun pada 13 September kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata keputusan itu diambil bagi mengelak kerajaan dikenakan tindakan menghina mahkamah dan pada masa sama mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

