Norazman tak kisah tandingi bapa saudara

0
2

CALON Perikatan Nasional (PN) DUN Senallang, Norazman Utoh Naim menyifatkan pertandingan sesama ahli keluarga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Semporna bukanlah sesuatu perkara asing.

Beliau yang juga Naib Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Semporna, berkata situasi itu menjadikan senario politik di Semporna unik dan berbeza dengan daerah lain.

“Kalau kita lihat di kalangan calon-calon yang bertanding di ketiga-tiga DUN di sini (Sulabayan, Senallang dan Bugaya) semuanya saling mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Di Semporna ini keunikannya, tiada masalah dari segi hubungan kekeluargaan, kami cuma berlainan ideologi politik, kita membawa haluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman calon bertanding di DUN Senallang, hari ini.

Norazman bakal dicabar Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN),
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga bapa saudaranya di DUN Senallang.

Selain Mohd Shafie, beliau turut berdepan Mad Jalie Lais (Parti Cinta Sabah); Mohammad Ramzan Abdu Wahab (Usno) dan Datu PG Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Mengulas mengenai peluangnya pada PRN kali ini, Norazman yang pertama kali menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya berkata, beliau bersama jentera parti akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih sokongan pengundi.

“Kita akur dan kena terima hakikat bahawa lawan yang kita hadapi ini bukan calang-calang (Ketua Menteri Sabah) dan buktinya tumpuan media diberikan kepada DUN ini.

“Kita akan bekerja sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh untuk cuba menewaskan parti Warisan pada PRN kali ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu Shafie memenangi kerusi DUN Senallang dalam pertandingan satu lawan satu dengan menewaskan Datuk Sri Nasir Tun Sakaran Dandai dari Barisan Nasional dengan undi majoriti 5301 undi.-Malaysiapost