UNIT Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) tidak pernah membelanjakan sehingga RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) seperti didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perancangan pembangunan negara untuk lima tahun itu disediakan pegawai-pegawai UPE JPM di bawah selian beliau.
Katanya, ia juga disediakan hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.
“Penyediaan RMK-12 melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan
perunding media.
“Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi
mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan lewat hari ini.
Terdahulu Anwar ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini mendakwa kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMK-12.
Berikut adalah petikan ucapan Anwar: “… kita boleh belanja bilion ringgit untuk konsultan. Saya difahamkan 5-6 tahun dulu, sudah belanja RM1.8 billion. Jadi saya nak tanya, lebih daripada RM2 billion ringgit telah diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMKe-12 ini.” – Malaysiapost

