Kematian Adib: Kerajaan perlu beri penjelasan telus, terbuka

0
2

PEMUDA Umno mendesak kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan secara telus dan terbuka mengenai kemajuan siasatan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Adib Kassim yang menjadi sejarah hitam negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat dan keluarga arwah berhak untuk mengetahui bagaimana siasatan yang dijalankan sebegitu lama gagal membawa suspek-suspek ke muka pengadilan.

“Pemuda Umno kekal komited untuk menggesa kerajaan agar terus berusaha untuk mengenalpasti pesalah-pesalah jenayah ini.

“Sudah tiba masanya juga pihak kerajaan untuk mengiktiraf Allahyarham Adib dengan satu bentuk penghormatan selaku wira negara atas jasa dalam melaksanakan amanah negara hingga mengorbankan nyawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin baru-baru di sebuah majlis di Ampang bahawa kes penyiasatan pembunuhan Allahyarham Adib ditutup sementara.

Asyraf Wajdi berkata, menurut laporan media, Ahli Parlimen Ampang itu juga berkata kes akan dibuka semula sekiranya wujud keterangan, maklumat dan bukti-bukti baharu dan komited untuk “terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib”.

“Kenyataan Zuraida ini sekali gus mengesahkan dapatan Mahkamah Koroner pada 26 September 2019 bahawa arwah terkorban akibat perbuatan jenayah bunuh oleh dua atau lebih individu tidak dikenali berbanding dakwaan bekas Peguam Negara Tommy Thomas terdahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here