Reformasi institusi polis perlu selari dengan Laporan Dzaiddin – Mohamad Hasan

0
3

KERAJAAN wajar mendengar pandangan daripada pasukan keselamatan sebelum menubuhkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri telah memaklumkan bahawa IPCC ini akan dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini.

“Ia akan menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang di perkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

“Justeru, kerajaan wajar juga menjelaskan pendiriannya dalam perkara berikut.

Oleh kerana pembentangan IPCMC telah mendapat bantahan meluas sebelum ini terutama dalam kalangan anggota polis, maka adakah pembaharuan dalam IPCC ini telah dibincangkan secara mendalam dan menyeluruh dengan pemegang taruh sebenar?

“Malah, IPCC wajar mendapat dukungan anggota polis kerana ia tidak akan menjadi undang-undang yang berjaya tanpa pandangan, sokongan dan penyertaan bermakna pasukan keselamatan kita,” katanya menerusi Facebook.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga menyeru kerajaan membentangkan rancangan pembaharuan terhadap pasukan keselamatan berkenaan.

” Banyak lagi saranan yang berkaitan dengan sumber manusia, kebajikan, imbangan kuasa dan pembaharuan menyeluruh yang wajar dilaksanakan bagi menjadikan sistem kepolisian kita setara dengan standard dunia.

“Reformasi institusi tidak mencukupi hanya sekadar penambahbaikan IPCMC kepada IPCC. Pasukan polis memerlukan lebih dari itu untuk menjadi lebih berkesan dan berwibawa.

“Jadi, saya menyeru Kerajaan membentangkan rancangan pembaharuan dan permodenan polis dengan segera,” katanya.

Tambahnya, IPCC hanya akan mencapai matlamatnya sekiranya pembaharuan yang dijalankan selari dengan Laporan Dzaiddin. “Justeru, ia mewajarkan kita meletakkan keutamaan pembaharuan melangkaui kod tatakelakuan segelintir aggota.

IPCC mesti diseimbangkan dengan komitmen Kerajaan untuk memperbaiki secara menyeluruh gaji, kemajuan kerjaya, kebajikan dan peningkatan kemahiran anggota polis.

“IPCC hanya akan mencapai matlamatnya jika ia dilaksanakan selari dengan segala pembaharuan lain yang disarankan oleh Laporan Dzaiddin.

“Setelah lebih 17 tahun, Laporan Dzaiddin masih lagi tertangguh untuk dilaksanakan secara rapi dan bersepadu,” jelasnya- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here