KJ seru masyarakat amal gaya hidup sihat menjelang endemik

0
2
tinjauan

KEBANYAKAN individu yang paling terjejas akibat wabak Covid-19 adalah daripada golongan menghidapi masalah komorbiditi.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang mengingatkan orang ramai kepentingan menjalani gaya hidup sihat sebagai amalan harian.

Katanya, untuk pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial dengan selamat dan beralih ke fasa endemik, perkara paling asas yang perlu dilakukan adalah amalan menjalani gaya hidup sihat.

“Ini termasuk menjaga diet atau pemakanan, bersenam dan sering melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Ini kerana kebanyakan individu yang paling terjejas teruk akibat virus Covid-19 seperti kematian atau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) adalah mereka yang mempunyai masalah komorbiditi,” katanya di Facebook, hari ini.

Khairy menjelaskan, selain vaksinasi, pertahanan utama untuk sistem badan adalah dengan memastikan diri kekal sihat.

“Malaysia sedikit bermasalah dalam hal ini kerana berada di kedudukan tertinggi di rantau ini bagi penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi (hipertensi) dan diabetes.

“Jadi, amalkan gaya hidup sihat untuk persediaan kita menghadapi endemik,” katanya.

Malaysia dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada Oktober depan berikutan peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi mencapai 83 peratus.

Kes baharu positif pula semakin berkurangan dan kadar pesakit yang menerima rawatan di hospital pula tidak lagi membimbangkan ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here