Kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut siap – Kon Yeow

0
1
Foto: Facebook Chow Kon Yeow

KAJIAN kebolehlaksanaan bagi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal termasuk agensi-agensi Persekutuan diterima.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata projek berkenaan adalah sebahagian daripada Projek Tiga Lebuh Raya Utama dan Terowong Bawah Dasar Laut.

Menurutnya, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi keempat-empat pakej tersebut iaitu tiga lebuh raya dan terowong bawah dasar laut adalah berjumlah RM305 juta.

“Namun, hanya RM208 juta yang telah dibayar melalui kaedah ‘exchange land’ kepada kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci untuk tiga lebuh raya sahaja.

“Langsung tiada bayaran dibuat bagi terowong bawah dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media yang membangkitkan mengenai projek terowong bawah dasar laut itu yang masih lagi berlaku banyak penyelewengan fakta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, berhubung cadangan menggantikan terowong berkenaan dengan jambatan, Kon Yeow berkata pada ketika ini, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk terowong sahaja dan bukannya untuk jambatan.

“Walaupun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga, namun ia belum lagi dipertimbangkan.

“Sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here