PENEKANAN terhadap pembangunan luar bandar dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), amat bersesuaian dengan falsafah Keluarga Malaysia, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurutnya, tumpuan terhadap kawasan luar bandar yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga adalah tepat pada masanya untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, pembentangan RMK12 itu sangat komprehensif termasuk keutamaan berkaitan pembangunan luar bandar seperti pendigitalan, peluang pekerjaan dan perubahan iklim.
“Antara yang ditekankan Perdana Menteri ialah mengenai merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan menaik taraf Pusat Internet Desa serta Pusat Komuniti Desa sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.
“Ia membolehkan pelbagai latihan kemahiran dapat dilaksanakan selain memperkenalkan perkhidmatan e-dagang di kawasan luar bandar.
“Saya amat mengalu-alukan program ini kerana kita tahu tidak semua tempat mempunyai capaian internet berkelajuan 100 megabait sesaat (Mbps) dan kebanyakan kawasan di kampung berada pada paras 20 hingga 30 Mbps sahaja,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Ditanya mengenai perancangan untuk memastikan semua peruntukan sampai kepada kumpulan sasar, beliau berkata perkara itu antara yang akan diberi keutamaan.
“Kita perlu ada ‘taskforce’ yang mencukupi untuk bergerak. Kita ambil projek bekalan air luar bandar sebagai contoh, jika melalui proses normal, mungkin akan lambat (pelaksanaan projek).
“Sebab itu kerajaan pusat perlu juga berunding dengan kerajaan negeri kerana ada projek tertentu yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri.
“Ini bermakna kerajaan negeri pun kena bantu untuk memastikan projek terbabit berjalan,” katanya. – Malaysiapost

