DUA minggu selepas memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) berlalu, namun masih ramai ahli-ahli parti gabungan pembangkang itu yang merasakan ia adalah pengkhianatan, kata Veteran DAP Lim Kit Siang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata keadaan itu memerlukan penjelasan kepada rakyat terutama kepada ahli-ahli DAP seluruh negara.
Menurutnya, cawangan-cawangan DAP perlu mengadakan sidang zoom atau perjumpaan secara hibrid untuk menjelaskan MoU berkenaan kepada rakyat.
“Masih ramai orang yang merasakan memorandum ini adalah satu pengkhianatan prinsip dan matlamat para pemimpin pembangkang dan merupakan satu ‘jerat’ daripada Ismail Sabri.
“Kisah Nelson Mandela yang memilih untuk berbincang dengan kerajaan apartheid walaupun selepas dipenjarakan selama 23 tahun adalah satu contoh yang baik,” katanya dalam satu penulisan di Roketkini.com, hari ini.
Beliau berkata, Mandela tahu yang perbincangan dengan Parti Kebangsaan Afrika Selatan ini akan dilihat sebagai satu tanda kelemahan dan pengkhianatan, namun
“Alternatifnya seperti mana dalam keadaan Covid-19 yang dihadapi kita sekarang, berjuta lagi kes dan lebih ramai kematian akibat Covid-19, dilihat sebagai satu perkara yang terlalu buruk untuk dibayangkan,” katanya.
Katanya, jawatankuasa pemandu bipartisan yang ditubuhkan melalui MoU itu mempunyai peranan memastikan pelaksanaan tindakan menangani Covid-19 dan menetapkan semula rangka kerja negara dengan reformasi institusi dan parlimen.
“Ia juga akan memastikan kebebasan sistem kehakiman dan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963.
“Pelbagai cadangan telah dibuat termasuklah Perdana Menteri tidak lagi terlibat dalam pelantikan Ketua Hakim Negara dan ketelusan dalam menerbitkan laporan akhir MA63.
“Jawatankuasa pemandu perlu bertanggungjawab untuk memenuhi jangkaan rakyat mengenai kedua-dua isu ini,” katanya.
Beliau berkata, MoU itu juga perlu menamatkan sebarang rancangan politik mengenai persoalan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri, sebaliknya menumpukan seluruh usaha Parlimen kepada usaha untuk mengatasi Covid-19.
Menurutnya, fokus juga untuk mengurangkan kesan buruk pandemik Covid-19 terhadap ekonomi dan kehidupan sosial serta menetapkan semula hala tuju negara dengan reformasi institusi dan parlimen dalam tempoh 10 ke 18 bulan akan datang.
“Gencatan atau moratorium politik ini tidak bermakna penamat kepada era politik yang membawa semua Ahli-ahli Parlimen ini ke Parlimen.
“Ini kerana mandat untuk menentukan siapa yang membentuk kerajaan hanya ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baik pada 2022 atau 2023,” katanya. – Malaysiapost

