JAIS kemuka cadangan pujuk individu tolak vaksin

0
2

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) akan mengemukakan cadangan untuk memujuk kumpulan agama yang enggan divaksinasi dalam sesi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, minggu ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata langkah ini bagi memberi peluang kepada guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid serta jurunikah terbabit, sekali gus mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan.

“Kita akan kemukakan cadangan ke arah positif dan pujuk mereka menerima vaksin, kalau hendak hukum sudah lama keluarkan surat tindakan.

“Tetapi kalau mereka tidak mahu juga, kita akan terus ambil tindakan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Pengisytiharan Taubat Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, hari ini.

Pada 22 September lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan dukacita dan amat kecewa terhadap kedegilan sebahagian guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang masih enggan divaksinasi, walaupun diberikan kemudahan berkenaan.

Baginda kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 individu yang hadir semasa sesi program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner JAIS di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Manakala daripada jumlah yang hadir itu, seramai 96 individu menolak untuk divaksin.

Justeru, baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here