RMK12: Kerajaan tumpu rapatkan jurang digital

0
2
digital malaysia 4IR

TEKNOLOGI Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) 4IR telah mendorong penggunaan teknologi dan inovasi ditumpu kepada pendigitalan dan teknologi termaju.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital.

Sebelum ini, kerajaan menerajui agenda ini melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai RM28 bilion ringgit bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada.

“Bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.

Katanya, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

“Kerajaan akan merapatkan jurang digital, terutama antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital. Dalam hubungan ini, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu.

“Penggunaannya juga akan diperluas untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here