Pelabur keluar bukan kerana Malaysia tidak kondusif – Azmin

0
2

FAKTOR persekitaran Malaysia yang tidak kondusif bukan punca utama syarikat-syarikat asing menarik keluar pelaburan dari negara ini.

Sebaliknya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ianya terdorong berikutan rasionalisasi perniagaan sesebuah syarikat.

Jelas Azmin, Malaysia sebenarnya masih lagi kekal kompetitif dan berdaya saing dalam menarik pelaburan-pelaburan ke dalam negara.

“Cuma yang harus kita ingat tindakan syarikat-syarikat ini sebenarnya adalah berdasarkan kepada faktor rasionalisasi perniagaan syarikat dan bukannya berpunca daripada persekitaran pelaburan negara yang tidak kondusif.

“Pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan syarikat-syarikat untuk memilih destinasi antaranya kos buruh yang rendah dan saiz pasaran domestik,” katanya bagi menjawab soalan tambahan (DAP-Fong Kui Lun) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Kui Lun meminta kerajaan menjelaskan adakah pelabur asing yang telah menarik pelaburan dari Malaysia sewaktu pandemik Covid-19 akan kembali ke negara untuk melabur seperti sebelum ini.

Azmin turut berkata, kedudukan Malaysia meningkat dua anak tangga jika dibandingkan pada tahun 2020, sekali gus ia merupakan suatu perkembangan positif dimana keyakinan pelabur-pelabur asing masih bersama dengan Malaysia.

Justeru, Azmin berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha untuk menarik para pelabur untuk masuk ke negara. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here