PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bakal berentap dalam saingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dicabar Mohd Ismail Ayub (Warisan), Razman Mayah (Parti Cinta Sabah), Mohd Al Ruzainie @Sairin Abd Rahman daripada (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan calon Bebas, Junny@ Karuak Abdullah.
Ia diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Suhaimi Ejip di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag di Kinabatangan hari ini.
Bung Moktar diiringi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
DUN Lamag adalah satu daripada 13 kerusi baharu dalam PRN menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN adalah 73 kerusi.
Ketika ditemui pemberita, Bung Moktar berkata, cabaran daripada empat calon itu menunjukkan amalan demokrasi dalam PRN dengan sesiapa saja termasuk calon Bebas boleh menawarkan diri untuk bertanding.
Ditanya pendapatnya mengenai gabungan baharu diumumkan iaitu Gabungan Rakyat Sabah yang diputuskan dalam mesyuarat semalam, Bung Moktar berkata, ia perkara biasa dan terpulang kepada rakyat negeri ini membuat pilihan.
“Ini memang biasa berlaku, cuma apa kita inginkan kemenangan. Biarlah rakyat Sabah memilih dulu untuk memenangkan calon BN dan rakan lain.
“Apa yang penting kita harus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kini dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas dihadiri pemimpin ketiga-tiga parti itu semalam.-Malaysiapost

