TINDAKAN menyebar atau menularkan apa yang didakwa sebagai bukti bagi kes salah laku seksual membabitkan seorang pendakwah terkenal dilihat hanya akan mengganggu siasatan polis.
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berpendapat, tindakan itu mengganggu tugas polis kerana siasatan akan fokus kepada sumber bukti berkenaan.
Menurutnya, polis akan menyiasat siapa yang merakam, alat rakaman apa digunakan, bila tarikh dan masa rakaman, siapa identiti perakam, siapa identiti orang yang dirakam dan rakaman asal ada di mana.
“Kalau benda dah viral, ini mengganggu tugas polis menyiasat perkara berkenaan kerana bila dah jutaan orang sebar, polis tak cukup masa panggil semua orang yang sebar untuk tanya soalan-soalan itu.
“Elok satu orang perakam asal sajalah yang bawa bukti itu kepada polis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menjawab soalan berhubung pendedahan bukti yang didakwa membabitkan kes salah laku seksual seorang pendakwah terkenal seperti didedahkan pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Wung, baru-baru ini.
Menurutnya, jika yang didakwa sebagai bukti itu sudah tular, maka ia akan memudahkan kerja peguambela tertuduh untuk menimbulkan keraguan atas kredibiliti bukti yang dikemukakan pendakwaan kelak.
“Seterusnya ini boleh membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri kerana pendakwaan gagal membuktikan kes di peringkat prima facie,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bukan pentaksub kepada pendakwah terkenal yang dikaitkan dengan salah laku seksual berkenaan dan bukan juga pembenci kepada pihak yang membuat pendedahan bukti kes terbabit.
“Saya cuma gagal untuk bertoleransi dengan hipokrasi. Biar polis yang siasat. Biar Peguam Negara yang mendakwa. Biar Hakim yang memutuskan salah atau tidak.
“Bukan kerja kamu nak buat semua ini. Kalau terbukti pendakwah berkenaan pakai ‘kabel’, kita lawan cara lain pula. Tapi tunggulah siasatan polis selesai dulu,” tegasnya. – Malaysiapost

