KKM tingkatkan kapasiti katil, ICU tangani Covid-19 di Sarawak

0
3

SARAWAK mencatatkan kes harian Covid-19 melebihi angka 1,000 sehari secara berturut-turut sejak 18 Ogos lalu dan keadaan itu dikhuatiri menyebabkan kapasiti penggunaan katil dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini majoriti kes adalah pesakit kategori satu dan dua yang tidak bergejala dan bergejala ringan iaitu 75 hingga 85 peratus.

Menurutnya, secara kumulatif kes kategori tiga dan empat juga akan meningkat kerana menggunakan katil di hospital dan ICU dalam satu tempoh tertentu.

“Pesakit kes kategori empat dan lima contohnya, secara purata mengambil tempoh dua hingga empat minggu untuk dirawat di ICU,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 31 hospital di Sarawak yang menyediakan rawatan untuk pesakit Covid-19 dan semuanya berstatus hibrid iaitu merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19, di mana lapan daripadanya adalah hospital swasta.

“Jumlah katil hospital bukan kritikal Covid-19 bagi swasta dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah 1,231 buah, manakala jumlah katil ICU Covid-19 pula adalah 121 buah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebelum ini, KKM bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan Hospital Medan berkapasiti 40 katil di Dewan Masyarakat Melayu Kapit untuk pesakit bukan Covid-19 yang beroperasi dari 10 Mei hingga 20 Ogos lalu.

“Terkini, sebuah Hospital Medan berkapasiti 80 katil telah diwujudkan di Hospital Umum Sarawak pada 15 September lalu untuk rawatan pesakit Covid-19 dengan kerjasama MERCY Malaysia.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak juga sedang berbincang dengan MERCY Malaysia untuk mewujudkan Hospital Medan di Hospital Sibu dan Hospital Miri dengan jangkaan kapasiti 50 hingga 100 katil dalam masa yang terdekat,” katanya.

Menurutnya, KKM turut mengubahsuai ruangan tertentu untuk dijadikan wad dan ICU sementara yang antaranya adalah untuk menyediakan satu modular ICU dengan kapasiti 10 katil di Hospital Sibu yang dijangka akan beroperasi pada Oktober 2021.

Beliau berkata, KKM akan mempertingkatkan penyumberluaran perkhidmatan perubatan ke hospital swasta bagi mengurangkan masa menunggu pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti rawatan jantung dan kanser.

“Kapasiti katil bagi merawat pesakit Covid-19 turut dipertingkat dengan penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi merawat pesakit kategori satu hingga empat. Semoga segala usaha kita dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here