Perlis belum sedia beralih Fasa Empat PPN – Exco Kesihatan

0
3

PERLIS masih belum dapat beralih kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan ketika ini penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di negeri ini masih agak tinggi.

Exco Kesihatan Perlis, Teh Chai Aan, berkata bagi membolehkan Perlis beralih dari Fasa Tiga PPN ke fasa berikutnya, tiga indikator yang perlu ada ialah kadar vaksinasi dewasa, penggunaan katil ICU dan jumlah kes positif Covid-19.

“Ketika ini, penggunaan katil di ICU hospital agak tinggi sedikit, namun ia dijangka akan berkurangan dalam masa terdekat, bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 di negeri ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia, peringkat negeri di Taman Sakura, Tebing Tinggi, hari ini.

Berdasarkan statistik data dari laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my/bm/pls/ hari ini, Perlis telah mencapai kadar vaksinasi dewasa lengkap dua dos berjumlah 88.6 peratus setakat ini.

Namun penggunaan katil di hospital termasuk ICU adalah terhad, dengan jangkitan Covid-19 pada Sabtu mencatatkan 17 kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Perlis kini menjangkau 3,566 kes.

Chai Aan seterusnya meminta orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi membolehkan Perlis terus beralih ke fasa empat dengan segera selepas ini bagi membolehkan pelbagai aktiviti serta ekonomi dapat diperluaskan dan dibuka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here