Pastikan kit ujian kendiri Covid-19 berkualiti bila harga diturunkan – Zahid

0
2

PENURUNAN harga kit ujian kendiri Covid-19 yang dijangka ditetapkan pada akhir bulan ini diharap benar-benar mampu milik supaya tidak membebankan rakyat.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengumuman kerajaan berhubung penurunan harga kit ujian berkenaan disambut baik kerana ia juga antara yang disyorkannya kepada kerajaan beberapa hari lalu.

Menurutnya, adalah tidak wajar untuk menunggu sehingga penghujung tahun bagi menurunkan harga memandangkan sektor sosial dan ekonomi telah pun dibuka, namun kes jangkitan masih tinggi.

“Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, memaklumkan kit ujian kendiri Covid-19 akan dijual dengan harga lebih rendah menjelang akhir bulan ini.

“Penurunan harga yang akan diumumkan sebelum sesi persekolahan pada 3 Oktober depan itu bagi memudahkan orang ramai terutama yang mempunyai ramai ahli keluarga membuat ujian saringan.

“Kita sambut baik pengumuman kerajaan itu kerana ia juga antara yang saya syorkan kepada kerajaan beberapa hari lalu supaya menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19 secepat mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau bagaimanapun kita berharap penurunan harga itu benar-benar mudah milik supaya tidak perlu disemak berulang kali yang akhirnya tetap membebankan rakyat.

“Perlu dipastikan juga penurunan harga kit ujian kendiri Covid-19 sama sekali tidak menjejaskan kualiti produk. Itu bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

“Negara masih dalam ‘perang’ melawan virus berbahaya sama ada pada fasa pandemik mahupun endemik. Kit ujian kendiri Covid-19 antara ‘senjata’ menghadapinya,” katanya.

Ahmad Zahid, berkata selain itu, bekalan kit ujian berkenaan juga perlu dipastikan sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh di pasaran pada setiap masa memandangkan satu kit ujian hanya boleh digunakan untuk satu individu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here