SERAMAI 11 pemandu mabuk dan dua positif dadah antara yang ditahan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam beberapa operasi hujung minggu di sekitar ibu negara.
Dalam operasi bermula 9 malam, Jumaat lalu hingga 4 pagi tadi, lima penunggang motosikal yang menunggang dalam keadaan merbahaya turut ditahan, selain 571 saman dikeluarkan serta 22 motosikal disita.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata tiga operasi dijalankan pihaknya iaitu Operasi Samseng Jalanan, Op Motosikal dan Op Pelbagai.

Menurutnya, operasi itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur dengan kekuatan empat pegawai dan 45 anggota di sekitar Pusat Bandaraya, Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Bangsar dan Lebuhraya DUKE.
“Dalam operasi motosikal di Jalan Pahang, dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun ditahan dan polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat 1.7 gram serta positif dadah.

“Operasi pelbagai pula 11 lelaki berusia 23 hingga 66 tahun ditahan dibawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagi Operasi Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya DUKE dan di Jalan Bangsar, lima lelaki yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi ‘zig-zag’, ‘roket’, ‘superman’ serta bersaing berjaya ditahan.
“Secara keseluruhan sebanyak 571 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 22 motosikal disita dibawah Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubahsuai struktur kenderaan iaitu ekzos.
“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi terutama di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya. – Malaysiapost

