SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah serta motosikal berkuasa tinggi bernilai RM1.6 juta dipercayai berkaitan siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.
Memetik sumber berkata, penyitaan itu melibatkan sebuah rumah, dua kereta jenis Mercedes dan Honda Type R dan dua motosikal jenis Ducati.
“Penyitaan dilakukan susulan siasatan terhadap penguasa kanan agensi berkenaan bersama dua lagi pegawai berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan,” katanya memetik Sinar Harian.
Dalam pada itu menurut sumber, satu kenyataan akhbar akan dibuat oleh pihak SPRM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.
Terdahulu, polis mengesahkan pihaknya menahan seorang pegawai kanan SPRM pada 21 September lalu untuk siasatan memiliki dadah berbahaya, senjata api serta peluru.
Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai AS$6 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu.
Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bermula Selasa sehingga hari ini.
SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.
Susulan itu, pada Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya juga sudah meminta JSJ PDRM mempercepatkan siasatan kes, selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.
Kata Hamzah, Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada. – Malaysiapost

