Pemuda Umno kemuka rasional pengeluaran i-Citra RM10,000

0
2

PEMUDA Umno terus mempertahankan pendirian dan rasional tuntutan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)minimun RM10,000 secara one-off seperti mana yang diharapkan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dalam suasana kecemasan musim pandemik memerlukan pelbagai pendekatan mendesak terutamanya bagi menjamin ‘safety net’ atau jaringan keselamatan sosial rakyat.

“Jutaan rakyat yang hilang punca pendapatan akibat pandemik samaada diberhentikan kerja, dicutikan tanpa gaji, perniagaan lingkup dan pendapatan gaji hari yang terencat, memberi kesan kepada keupayaan rakyat untuk berbelanja sekaligus mengakibatkan aliran tunai dalam ekonomi terjejas teruk.

“Rakyat terdesak untuk bayar komitmen bulanan (sewa rumah, ansuran kereta, bil-bil utiliti, kad kredit dll), pada masa sama tertekan untuk penuhi tuntutan perut, keperluan dapur keluarga, keperluan persekolahan anak-anak (PdPR) dan lain-lain,” katanya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, bantuan kerajaan seperti BPR, BPN dan BKC sebelum ini amat terhad dan hanya memfokuskan kepada B40, menyebabkan ramai di kalangan rakyat yang masih tercicir.

Sedangkan, katanya, mereka juga telah jatuh ke dalam kategori susah dan terdesak terutamanya di kalangan M40 sebelum ini.

“Justeru, demi kelangsungan hidup sekarang, membenarkan pengeluaran caruman daripada KWSP pasti akan melegakan ramai yang memang hakikatnya sudah sampai ke peringkat nyawa-nyawa ikan.

“Selain itu, pengeluaran dengan jumlah yang terhad daripada simpanan hari tua KWSP seperti i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra hanya untuk solusi jangka pendek bagi rakyat tidak terputus tunai di tangan dan melangsaikan komitmen yang tertunggak ketika pandemik ini.

“Tiada jaminan untuk kelangsungan hidup dan merasa simpanan mereka sehingga hari tua jika keadaan mendesak dan cemas hari inipun tidak dapat ditangani,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, i-Sinar, i-Lestari serta i-Citra mampu membantu negara melancarkan aliran tunai dalam ekonomi.

“Contohnya, waktu kerajaan benarkan pengeluaran i-Sinar RM10 ribu pada Januari dan Februari tahun ini, KDNK kita tiba-tiba melonjak kepada 6% pada bulan Mac. Sedangkan sebelum itu KDNK kita negatif.

“Sebab apa? Ini kerana apabila rakyat ada wang lebihan, maka perbelanjaan dan perniagaan akan naik. Pada Mac 2021, peningkatan wang benar (M1) direkodkan sebanyak +17.1% berbanding pada Disember 2020, M1 kita negatif 1%. (M1 adalah indikator duit sebenar / real money yang ada dalam poket rakyat.

“Duit yang ada dalam pasaran dan duit deposit dalam bank). Kalau ada peningkatan maknanya duit rakyat makin banyak. Kalau negatif, maknanya kita rakyat secara keseluruhan makin miskin,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 21 September lalu, ada beberapa cadangan yang turut dikemukakan pihaknya untuk tangani isu bagi menampung kembali kelompongan simpanan KWSP akibat pengeluaran musim kecemasan.

Antaranya meningkatkan kadar caruman wajib majikan untuk tempoh tertentu dan memperluaskan caruman ‘mandatory coverage’ termasuk kepada sektor informal seperti Gig ekonomi.

“Di samping itu juga, Pemuda Umno turut mencadangkan kepada Kerajaan untuk berusaha mendatangkan solusi jangka sederhana dan panjang termasuk menyediakan bantuan tunai (cash transfer) yang secukupnya kepada rakyat dalam Bajet 2022 nanti,

“Selain mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak muda termasuk skim jaminan pekerjaan dan mengupayakan kembali projek-projek infrastrukur berskala besar yang punya kesan gandaan ekonomi (multiplier effect) bagi segera merangsang pertumbuhan dan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, jika ia berjaya, rakyat tidak perlu lagi bergantung kepada pengeluaran wang simpanan KWSP yang tentu sekali boleh menjejaskan masa depan mereka di kemudian hari. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here