23,487 pelajar ke IPTA terima wang pendahuluan PTPTN

0
2

SERAMAI 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam (UA) menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia diberikan kepada pelajar bagi sesi kemasukan Oktober 2021 ini dengan membabitkan peruntukan lebih RM35 juta.

“Hari ini saya menyantuni tiga pelajar yang ditawarkan WPP PTPTN melalui sesi ziarah ke rumah pelajar berkenaan di Kubang Pasu, Kedah, serta menyerahkan surat tawaran WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap seorang pelajar pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, bagi Kedah pula seramai 2,343 orang pelajar menerima WPP dengan peruntukan berjumlah RM3.5 juta.

Katanya, bagi kawasan Kubang Pasu pula, seramai 166 pelajar telah disediakan WPP yang melibatkan peruntukan berjumlah RM249,000.

“Inilah bukti bahawa PTPTN memainkan peranan amat penting dalam membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke menara gading,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak WPP ini diperkenalkan pada 1999 dan sehingga 31 Julai 2021, seramai 942,025 pelajar telah menerima WPP dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.39 bilion. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here