Sabar, tak lama dah boleh rentas negeri – PM

0
2
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa berita baik yang ditunggu-tunggu rakyat iaitu pergerakan rentas negeri akan dibenarkan dalam sedikit masa lagi.

Beliau berkata, apabila diumumkan kelak, rakyat yang telah lama terpisah dengan keluarga akibat sekatan pergerakan, bolehlah pulang ke kampung halaman untuk melepaskan rindu.

“Sukacita ingin saya kongsikan sehingga Rabu lalu, 81 peratus populasi dewasa Malaysia telah divaksinasi. Ini yang ditunggu-tunggu untuk rentas negeri apabila mencapai 90 peratus (populasi dewasa divaksin), kalau Rabu baru ni sudah 81 peratus, maknanya tak lama lah tu.

“Jadi bolehlah balik kampung jumpa ibu bapa, saya difahamkan dah setahun tak berpeluang jumpa ibu bapa, insya-Allah… sabar dalam beberapa minggu lagi kita akan capai 90 peratus dan kebenaran akan diberi untuk rentas negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah IKRAM Keluarga Malaysia) di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, Ismail Sabri mengumumkan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga memulakan vaksinasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan Empat sebagai persediaan pembukaan sekolah di seluruh negara secara berperingkat.

“Berdasarkan kepada perkembangan yang sangat positif ini, kerajaan mula memberi kelonggaran kepada individu lengkap divaksinasi bagi melaksanakan aktiviti dalam sektor ekonomi dan sosial.

“Apa yang penting dalam tempoh endemik ini, adalah kawalan kendiri. Menjadi tanggungjawab kita semua, untuk memastikan segala aktiviti harian dilakukan mengikut pembudayaan norma baharu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here