Golongan rentan, anak muda dibantu miliki kediaman selesa – PM

0
1

Nilam Oshman

KERAJAAN akan membantu golongan rentan serta belia dan anak muda untuk memiliki kediaman selesa serta berkualiti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan sejajar dengan agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni.

Kata Perdana Menteri, kerajaan tahu ramai yang cukup terkesan dengan keadaan ekonomi semasa termasuk soal perumahan sebagai tempat untuk berteduh dan ia menjadi perkara pokok kepada Keluarga Malaysia.

“Justeru, Agenda Perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan, khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

“Program-program kediaman mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) akan terus diperkasakan dan ditambah baik agar setiap Keluarga Malaysia ada tempat untuk berteduh.

“Saya yakin, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program-program perumahan agar ia tidak hanya boleh dibina dalam tempoh singkat, malah mampu dimiliki rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah IKRAM Keluarga Malaysia) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ismail Sabri berkata, perincian mengenai Agenda Perumahan akan diumumkan kerajaan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta Belanjawan 2022 tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here