Budak Dungun buat TFC gigit jari

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

JARINGAN tunggal Safawi Rasid pada awal permainan memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus gah di puncak Liga Super selepas tujuh perlawanan.

Beraksi selaku tuan rumah, Terengganu FC (TFC) gagal memanfaat kelebihan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, apabila JDT lebih tajam di hadapan gawang.

Seawal minit ke-5, JDT sudah pun menyerlahkan taringnya dengan gol pendahuluan menerusi penyerang berasal dari Dungun itu daripada salah faham pertahanan import TFC, Argzim Redzovic yang membuat hantaran ke belakang dan gagal dibaca oleh penjaga gol Shamirza Yusoff.

Hasrat TFC untuk bangkit pada separuh masa kedua tidak kesampaian dan tiada tambahan jaringan sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Sementara itu di Ipoh, Perak bangkit daripada kekecewaan minggu lalu apabila berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas UiTM FC.

Skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit keempat.

Dalam satu lagi aksi Liga Super di Selayang, Selangor hanya mampu seri 1-1 menentang Melaka United.

Gol Melaka dijaringkan Uche Agba pada minit ke-39, sebelum Sandro da Silva menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-41.- Malaysiapost