183 ditahan leka berhibur, ingkar PKPP

0
2

SERAMAI 183 individu di pusat hiburan ditahan ketika leka berhibur tanpa menghiraukan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Jalan Bukit Bintang, awal pagi tadi.

Ketika serbuan Ops Noda dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 12.50 tengah malam itu, premis hiburan berkenaan masih memainkan muzik dengan kuat dan pengunjung dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Kuala Lumpur ACP Rohan Shah Ahmad berkata daripada 183 yang ditahan itu, 75 adalah wanita berusia antara 21 dan 40 tahun.

“Polis turut menahan 12 pekerja premis berkenaan termasuk enam pekerja warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit kerja sah,” katanya seperti dilapor Bernama.

Menurut beliau, semakan awal premis berkenaan menunjukkan ia beroperasi tanpa lesen.

Dalam operasi yang berakhir kira-kira 3 pagi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan seperti pembesar suara, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,000.

Kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1993, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952.-Malaysiapost