Geng curi motosikal sekitar PJ diberkas

0
3

ENJIN motosikal hidup tanpa kunci di kaki lima Damansara Damai, kelmarin, membongkar kegiatan lima individu termasuk dua wanita dipercayai mencuri motosikal dan pecah cermin kenderaan di daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal,  berkata dalam kejadian jam 11.40 malam itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki berusia 18 tahun yang sedang duduk di atas sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan terhadap motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan suspek mendapati enjin kenderaan itu masih hidup, namun tiada kunci di suis penghidup kenderaan berkenaan, selain menemui wayar yang diubah suai bagi menghidupkan enjin.

“Semakan pada nombor enjin motosikal itu mendapati ia dilaporkan hilang pada 7 September lalu di Damansara. Suspek juga mengaku meletakkan barang hasil curi serta peralatan untuk mencuri motosikal dan pecah cermin kenderaan di sebuah hotel di Damansara Damai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya kemudian membuat serbuan di sebuah hotel di Damansara Damai dan menahan empat lagi rakan suspek berusia antara 14 hingga 27 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal.

“Dalam serbuan itu, kami merampas barang disyaki digunakan dalam aktiviti curi motosikal dan pecah cermin kenderaan termasuk lapan telefon bimbit. 

“Semakan mendapati dua daripada lima suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

“Semua suspek berkenaan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri motosikal dalam tiga serbuan di tiga lokasi pada 9 dan 10 September lalu.

“Sepasukan anggota membuat serbuan di sebuah premis di Taman Medan pada 9 September lalu yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 28 tahun. Hasil siasatan awal, suspek mengaku menjual motosikal curi di daerah ini kepada beberapa individu yang dikenalinya.

“Berdasarkan maklumat diterima daripada suspek, kami membuat dua serbuan berasingan di dua rumah iaitu di Kampung Baru Telok Gong, Pelabuhan Klang dan di Taman Impian Ehsan, Seri Kembangan, semalam.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 36 tahun yang mengaku membeli motosikal curi daripada suspek pertama,” katanya.

Katanya, pihaknya turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di Sungai Besi sebelum ini, selain beberapa komponen motosikal yang dileraikan termasuk tayar, ekzos, tempat duduk dan ‘cover set’.

“Semakan mendapati suspek pertama juga mempunyai rekod jenayah membabitkan kes curi motosikal serta rogol.

“Suspek pertama dan kedua direman selama empat hari, manakala suspek ketiga direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost