Guru enggan vaksin tidak terkecuali laksana tugas – KPM

0
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti pendekatan terbaik berhubung penetapan tugas membabitkan guru-guru yang enggan dan masih belum mendapatkan vaksin Covid-19 di seluruh negara, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Ia susulan pengumuman KPM sebelum ini terhadap kumpulan tersebut tidak dibenarkan mengajar dan berinteraksi dengan pelajar secara bersemuka sebaik sahaja pembukaan sekolah dilaksanakan.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 2,100 guru yang enggan dan masih belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna semua mereka terkecuali daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru.

“Ada tugas-tugasan yang akan diberikan kepada guru-guru ini berdasarkan keadaan semasa di sekolah. Ini kerana, seramai 2,100 orang ini mempunyai latar belakang keadaan semasa sekolah yang berbeza.

“Contohnya, ada sekolah yang (guru tidak divaksin) dalam tiga subjek sama. Jadi kita sedang teliti satu persatu apakah pendekatan yang terbaik,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan M Karupaiya (PH-Padang Serai) yang bertanya sama ada larangan mengajar secara bersemuka membabitkan kumpulan guru yang tidak divaksin akan menambah beban kepada guru-guru yang telah divaksin.

Pada perkembangan sama, menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memohon jaminan agar tiada tindakan terhadap guru-guru yang enggan divaksin, Radzi berkata, ia adalah bergantung kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

“Guru adalah sebahagian penjawat awam, jadi kita akan mengikut apa sahaja pedoman yang akan diberikan JPA dalam perkara ini. Tentang tindakan selanjutnya, ia bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh JPA,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here