PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi pejelasan mengapa tiada lagi desakan kuat supaya ‘total lockdown’ dilaksanakan ketika ini.
Jelasnya, pihaknya sudah mendesak kerajaan lama untuk membuat ‘total lockdown’ ketika rakyat masih ada kemampuan untuk menempuhinya.
Katanya, sewaktu kes harian jangkitan Covid-19 di Malaysia baru mencecah empat angka awal tahun ini dan ketika itu negara masih mempunyai kemampuan untuk memberi bantuan secukupnya kepada rakyat.
“Jadi, kita desak kerajaan lama buat ‘total lockdown’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula, iaitu sebelum kes harian jangkitan Covid-19 mencecah lima angka pada pertengahan Julai lalu.
“Namun, dengan situasi terkini kerajaan baharu kelihatan keberatan melaksanakannya walau kes masih tinggi, mungkin atas faktor rakyat sudah dalam keadaan tidak mampu mengharunginya. Ekonomi rakyat semakin parah.
“Manakala, tahap kesihatan mental sebilangan rakyat kian merungsingkan kerana terlalu lama berkurung. Jika ‘total lockdown’ sekarang mungkin bagi kerajaan baharu keadaan rakyat akan bertambah teruk. Tapi apakan daya nasi sudah jadi bubur,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, andai pelaksanaan ‘total lockdown’ bermula Januari lalu mungkin jangkitan Covid-19 ketika ini adalah terkawal.
“Mungkin rakyat ketika ini sedang selesa menikmati kelonggaran dengan kadar jangkitan yang rendah,” katanya.
Maka, Ahmad Zahid meminta orang ramai untuk terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun banyak kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan.
“Fasa 2, Fasa 3, Fasa 4 namun ingat jangkitan Covid-19 masih berada dalam komuniti kita. Kita masih terdedah kepada jangkitan. Virus ini masih aktif dalam persekitaran kita.
“Kerajaan minta kita hidup bersama Covid-19 tidak bermakna kita perlu merelakan jangkitan,” katanya. – Malaysiapost

