
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan isu sidang Parlimen terpaksa dihentikan selama tujuh minit kerana tidak cukup korum semalam, adalah kejadian yang amat memalukan.
Mohd Puad Zakarshi berkata, reformasi Parlimen yang dimaksudkan sewajarnya membabitkan budaya dan tingkah laku Ahli Parlimen yang perlu berubah.
“Apakah tambah jawatan Timbalan Speaker untuk pembangkang melalui pindaan perlembagaan adalah reformasi parlimen?
“Bagaimana dengan budaya ahli Parlimen? Ia juga mesti berubah. Ia berkaitan tingkah laku. Kalau setakat perubahan struktur, itu reformasi kulit sahaja.
“Semalam sidang parlimen terpaksa dihentikan 7 minit kerana tidak cukup korum. Ia amat memalukan. Bila gejala ini akan berakhir,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Puad berkata, isu tidak cukup korum dalam persidangan Parlimen sudah banyak kali berlaku.
Sehubungan itu, Mohd Puad mencadangkan mesyuarat dan majlis rasmi kementerian mesti dibuat di Parlimen.
“Apakah menteri sibuk. Bukankah Menteri ada ofis di Parlimen. Apakah bilik ofis tidak cukup kerana menteri ramai sangat?
“Elok ada peraturan mandatori untuk menteri semasa sidang Parlimen. Mesyuarat mesti buat di Parlimen. Majlis rasmi kementerian diwakilkan kepada KSU. Tiada aktiviti luar KL kecuali lawatan bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Puad turut mempersoalkan ketegasan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam isu berkenaan.
“Azhar nafi ditekan bila batal jemput Nga Kor Meng jadi Timbalan Speaker sementara.
“Bab itu guna kuasa. Bab lain tak mahu guna kuasa. Kononnya tidak ada kuasa. Selagi Azhar kekal Speaker, tidak payah mimpilah reformasi Parlimen akan berlaku,” katanya.
Semalam, Persidangan Dewan Rakyat sesi petang ditangguhkan selepas kerusi di pihak kerajaan kosong.
Sesi petang Dewan Rakyat yang sepatutnya dimulakan 2.30 petang tertangguh selepas Cha Chee Chin (PH-Rasah) memberitahu Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon bahawa persidangan tidak boleh diteruskan kerana kekurangan kuorum.
Chee Chin berkata, penyokong kerajaan, menteri dan timbalan menteri tidak hadir. – Malaysiapost
