Anggota polis didakwa terima rasuah RM700

0
2

SEORANG anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini selepas didakwa menerima suapan bernilai RM700 pada Disember lalu.

Tertuduh, Mohamed Syaffiq Mohammed Sidek, 32, didakwa menerima suapan berkenaan daripada seorang lelaki bagi melepaskan seorang suspek yang terbabit dalam kes memiliki air ketum.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 25 Disember 2020, antara jam 1 petang hingga 2 petang di Balai Polis Kuantan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, tertuduh yang digantung kerja merayu mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan dia perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun serta menjaga ibunya yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan RM10,000 bagi ikat jamin.

Hakim kemudian membenarkan rayuan tertuduh dan memutuskan kadar ikat jamin RM7,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here