Pesara tentera rugi RM16,000 ditipu anak saudara

0
1
Polis Di Raja Malaysia

NIAT seorang bapa untuk melepaskan anaknya yang ditahan polis berkecai, selepas dia menjadi mangsa penipuan oleh anak saudaranya dalam kejadian Julai lalu.

Mangsa yang juga persara tentera mendakwa mengalami kerugian RM16,000 selepas suspek dan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai polis berjaya memperdayanya dengan berjanji membebaskan anaknya yang ditahan polis berkaitan kes dadah.

Dalam kejadian 6 Julai lalu, mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama ‘ASP Prakash’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek kemudiannya mengarahkan mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang juga anak saudara mangsa bernama ‘Nuar’ untuk membebaskan anak mangsa yang ditahan polis.

“Suspek terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis iaitu ‘ASP Prakash’ dan membuat tawaran untuk membebaskan anak lelaki mangsa yang ditahan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut atas kesalahan dadah melibatkan kes Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Suspek meminta mangsa berurusan dengan anak saudara mangsa yang kemudiannya meminta mangsa menyediakan sejumlah wang bagi urusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa seterusnya mengarahkan isterinya membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM16,000 kepada ‘ASP Prakash’ melalui nombor akaun bank milik individu lain.

“Bagamanapun selepas selesai melakukan pemindahan wang itu, mangsa menerima panggilan daripada pihak Narkotik IPD Jerantut dan memaklumkan anaknya akan dihantar ke Penjara Simpang Renggam, Johor.

“Mangsa yang terkejut kerana sudah membuat bayaran untuk melepaskan anaknya. Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, mangsa meminta anak saudaranya memulangkan semula wang terbabit, namun ‘Nuar’ gagal berbuat demikian.

“Pesara tentera berkenaan yang mengesyaki anak saudaranya bersubahat dengan ‘ASP Prakash’ tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here