Letak jawatan PM: Muhyiddin tidak menyesal, demi rakyat

0
2
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba kira-kira pukul 12.43 tengah hari di Istana Negara bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak menyesal melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, sebaliknya tindakan itu tanda beliau melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia bukan soal menyesal atau tidak, namun ia merupakan satu prinsip mendokong Perlembagaan.

“Di mana saya melihat waktu itu saya tidak mempunyai sokongan majoriti disebabkan oleh 15 Ahli Parlimen Umno tidak menyokong.

“Maka saya tidak boleh bertahan lama. Saya kena laksanakan tanggungjawab dan sebagai seorang Islam, untuk meninggalkan jawatan itu,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau menerima peletakan jawatan ini dengan reda dan tetap akan teruskan perancangan bagi menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara dan rakyat.

“Jadi, saya lepaskan atau meletak jawatan tersebut…itu satu perkara dari segi soal Perlembagaan dan duniawi…kita tak boleh bawa benda-benda ini ke akhirat.

“Yang pentingnya bahawa ini sudah ditakdirkan oleh Allah dan saya terima sebagai qada dan qadar tetapi itu tidak melemahkan semangat saya untuk terus membuat apa yang saya fikirkan wajar…mana yang betul itu…betul…betul di sisi Allah bukan saya.

“Justeru, soal menyesal tidak pernah berbangkit dalam ‘vocabulary’ hidup saya kerana saya fikir keputusan ini yang utama dan saya cuba pikul dengan melaksanakan tugas dan amanah ini sebaik-baik kerana yang saya utamakan tidak lain tidak bukan ialah rakyat jelata,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here