Muhyiddin gembira vaksinasi capai 80% populasi dewasa

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gembira vaksinasi negara mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa hari ini seperti yang dirancang oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, ia bermakna lebih 40 juta dos vaksin telah diberikan kepada keseluruhan populasi Malaysia.

“Saya merasa teruja dan bangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kejayaan ini dicapai sebulan lebih awal dari yang telah kita jadualkan.

“Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutamanya pasukan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) diketuai Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Tahniah juga kepada seluruh petugas barisan hadapan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan agenda utama kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, seperti yang sering beliau ingatkan, strategi kerajaan ketika dirinya menjadi Perdana Menteri dahulu adalah jelas iaitu mahu seramai mungkin rakyat menerima vaksinasi lengkap.

“Lebih ramai divaksin, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan Covid-19, lebih cepat kita membentuk imuniti kelompok.

“Ini sekali gus mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan awam dan melancarkan proses pemulihan ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tumpuan kini patut diberikan kepada negeri yang masih rendah kadar vaksinasinya agar proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Di Sabah misalnya, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa paling rendah ketika ini dengan hanya 53.7 peratus. Negeri lain seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang masih di bawah 60 peratus,” katanya.

Manakala, tambahnya, Pasukan Bertindak Immunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) telah ditubuhkan semalam untuk memastikan anak-anak yang berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima vaksin.

“Setakat ini, lebih 85,000 remaja telah menerima vaksinasi lengkap dan disasarkan 80 peratus remaja akan menerima vaksinasi lengkap sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.

“Semoga anak-anak kita dilindungi dan dapat kembali ke sekolah secara fizikal dengan selamat,” katanya.

Justeru, katanya, kejayaan negara mencapai 80 peratus populasi dewasa yang lengkap divaksin hari ini membuktikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landasan yang betul.

“Ini juga menunjukkan kejayaan perancangan pembelian vaksin oleh Malaysia yang merupakan antara negara terawal di Asia memeterai perjanjian dengan beberapa pembekal vaksin pada skala besar.

“Hubungan baik Malaysia di peringkat antarabangsa juga memberi manfaat apabila kita menerima sumbangan vaksin melebihi lima juta dos dari negara Jepun, Arab Saudi, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya.

Beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bahawa suntikan penggalak (booster) akan diberikan seawal Oktober, terutamanya untuk frontliners yang lebih banyak terdedah kepada risiko virus ini.

“Saya juga mengalu-alukan Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) diumumkan Perdana Menteri untuk golongan B40.

” Pembelian alat pulse oxymeter untuk menyukat kadar oksigen pesakit telah diluluskan oleh kerajaan dalam Sidang Khas Covid-19 Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.

“Pemberian PPC yang berjumlah RM471.6 juta ini menunjukkan kesinambungan Kerajaan Prihatin yang peka kepada keperluan rakyat terutamanya golongan rentan.

“Saya berharap pakej bantuan ini dapat disegerakan dan sampai kepada golongan sasar mengikut perancangan demi kemaslahatan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here