Penjawat awam enggan vaksin: JPA akan kemuka cadangan kepada MKN

0
1
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil vaksin Covid-19.

JPA dalam kenyataan berkata, pihaknya akan membawa beberapa pilihan tindakan dan pendekatan yang boleh diambil kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin.

“Namun kecuali bagi mereka yang benar-benar mempunyai alasan yang kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

“Selain itu, JPA juga berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin,” menurut kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin ini telah mencapai hampir 98 peratus berbanding kelompok yang belum mengambil vaksin adalah kecil.

“Namun perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan.

“Disamping usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Menurut kenyataan itu, secara dasar, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

” Justeru, semua penjawat awam perlulah mematuhi peraturan sedia ada termasuk kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here