[PARLIMEN] MALAYSIA mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan yang dikuasai Taliban sejak 15 Ogos lalu.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sehingga kini masih tiada negara luar mengiktiraf kerajaan sementara Taliban termasuk negara-negara berjiran dengan Afghanistan sendiri.
Katanya, terdapat beberapa pertimbangan atau faktor perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan termasuk penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara itu.
“Kedua, kita dapati kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan golongan etnik utama lain, serta peranan wanita dan anak perempuan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin menjelaskan, Malaysia kekal dengan pendirian kerajaan di Kabul itu harus berdasarkan pendekatan ‘penyelesaian politik berkekalan dipimpin, dimiliki dan dikawal oleh rakyat Afghanistan’.
Sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Saifuddin menegaskan, Malaysia memberi tumpuan utama kepada pendirian ditetapkan secara bersama melalui Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC pada 22 Ogos lalu, iaitu mengukuhkan komitmen dan sokongan OIC terhadap Afghanistan.
Jelasnya, Afghanistan perlu menggariskan kepentingan untuk melindungi dan menghormati hak kehidupan, keselamatan dan maruah rakyatnya dalam mematuhi Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia juga antara pendirian OIC.
Sementara itu, Saifuddin berkata, hanya dua warga Malaysia berada di Afghanistan kerana berkhidmat dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa iaitu Pasukan Palang Merah Norway dan International Federation of Red Cross and Red Crescent (IFRC).
Katanya, mereka telah pun melaporkan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi tentang keberadaan di Afghanistan dalam keadaan selamat. – Malaysiapost

