[PARLIMEN] MALAYSIA tidak boleh lewat meratifikasi perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang akan mengakibatkan negara ketinggalan menikmati faedah dan layanan keutamaan seperti terkandung dalam perjanjian itu.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Malaysia meratifikasi oerjanjian itu adalah pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan dalam negara-negara anggota.
“Setelah perjanjian ini berkuat kuasa, antara kerjasama lain yang dirancang termasuklah peningkatan kapasiti bagi pelaksanaan penurunan atau penghapusan kadar tarif import, pengurangan halangan berbentuk bukan tarif seperti melalui penerimaan pakai standard dan piawaian industri setiap negara.
“Oleh yang demikian, usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kerjasama dengan negara-negara RCEP adalah seiring matlamat utama perjanjian terutama untuk mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau.
“Di samping menjadikannya lebih mesra pengguna serta lebih mudah digunakan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, hari ini.
Bagaimanapun Mohamed Azmin menjelaskan, Malaysia akan melengkapkan proses ratifikasi pada pertengahan Disember tahun ini.
“Proses ratifikasi RCEP bagi Malaysia memerlukan pindaan dibuat ke atas tiga Akta di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang berkaitan Hak Harta Intelek (IPR) iaitu Akta Paten (Patent), Akta Hak Cipta (Copyright) dan Akta Cap Dagang (Trademark).
“Ini bagi memastikan Akta-Akta tersebut sejajar dengan obligasi negara di bawah Perjanjian tersebut.
“Dalam hal ini, MITI dimaklumkan oleh KPDNHEP bahawa draf pindaan Akta-Akta tersebut sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara dan memberi jaminan ia akan dibentang untuk perbahasan di Parlimen pada Disember tahun ini,” katanya.
Sehingga kini, negara-negara yang telah meratifikasi perjanjian ini ialah Singapura, China dan Jepun.
“Myanmar pula telah menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, manakala Thailand melengkapkan proses ratifikasi domestik dan akan menghantar surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN hujung tahun ini,” katanya. – Malaysiapost

