Rupanya SPRM siasat, bertindak sendiri – Shahrir

0
2

PATUTLAH PDRM tak tahu. Kerana tidak ada laporan polis dibuat, kata veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Beliau berkata demikian sebagai isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Shahrir berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru saja memberi amaran supaya jangan membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu di media sosial.

Ini katanya, terbongkar cerita di media sosial hanya dilihat tidak sahih dan maka PDRM mengeluarkan amaran jangan hebohkan cerita bukan-bukan.

“Patutlah PDRM tak tahu. Kerana tidak ada laporan polis dibuat. Terbongkar cerita di media sosial hanya dilihat tidak sahih dan dikeluarkan amaran jangan hebohkan cerita bukan-bukan.

“Patutnya siasatlah dan minta kerjasama mereka yang mempunyai maklumat tentang perkara ini. Rupanya SPRM siasat dan bertindak sendiri ke atas pegawai-pegawainya tanpa buat laporan polis.

“Rupanya betul ceritanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

SPRM semalam mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September 2021.

Menurut SPRM, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan kerana akan menjejaskan siasatan.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan PDRM tidak menerima sebarang laporan berhubung penahanan reman tiga pegawai kanan SPRM yang didakwa mencuri barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta).

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita tidak benar.

Terdahulu, tular satu laporan di sebuah blog mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu.

Individu terbabit dikatakan pernah disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018 dan wang tunai berkenaan didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Penulis blog berkenaan mendakwa individu terbabit membuat satu laporan polis, namun polis tidak berani menjalankan siasatan, sebaliknya membiarkan SPRM menjalankan siasatan dalaman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here