Banjir kilat: Penduduk panik, tidak sangka air naik mendadak

0
3

Nilam Oshman

PENDUDUK di Jalan Raja Mahdi, Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak menyangka hujan lebat petang semalam, menyebabkan air naik mendadak dan menenggelamkan kawasan rumah mereka.

Malah, penduduk yang ditemui mendakwa banjir kilat semalam adalah yang terburuk sejak 2007 dipercayai berlaku berikutan kelemahan penyelenggaraan sistem perparitan sedia ada.

Suri rumah, Yuliana Nordin, 44, berkata hujan lebat sejak jam 1.30 petang itu menyebabkan air naik begitu cepat dan melimpah masuk ke dalam rumahnya.

Yuliana Nordin, 44

“Mulanya saya ingatkan air tak akan masuk ke kawasan rumah. Namun sangkaan saya salah selepas melihat air di tingkat bawah rumah melimpah.

“Malah, air di kawasan jalan raya naik sehingga paras pinggang. Kejadian terlalu pantas, semua perkakasan rumah seperti sofa, televisyen, meja makan rosak ditenggelami air,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Yuliana berkata, dia tidak ke pusat penempatan banjir kerana keadaan ibunya yang tidak sihat.

“Saya tidak dapat ke sana (penempatan banjir) kerana emak tidak sihat dan tidak larat jalan jauh,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan, katanya, setakat ini tiada bantuan dari mana-mana pihak.

“Setakat ini tak ada bantuan diberikan. Cuma sesiapa yang duduk di pusat pemindahan dapatlah selimut,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Heiri Suar, 40, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka banjir kilat kali ini terlalu buruk.

Heiri Suar, 40

“Dah lama tak jadi teruk macam ini, dekat sini (Kampung Baru) selalu air naik dan tak sangka jadi balik. Pernah banjir teruk pada 2007.

“Saya tidak sempat nak selamatkan apa-apa. Habis peti ais, tv, mesin basuh, periuk nasi semua rosak. Mujur sempat selamatkan kereta,” katanya.

Manakala, suri rumah, Asiyah Juli, 45, berkata, ketika kejadian dia bimbang keselamatan dua anaknya perempuannya berumur 11 dan 12 tahun kerana mereka dinaiki air sehingga paras dada.

Aisyah Juli, 45

“Saya arahkan anak-anak duduk atas katil dua tingkat kerana terlalu bimbang.

“Air surut lebih kurang jam 10 malam, lama jugalah kami menunggu di dalam rumah. Jadi, kami mula mengemas jam 8 pagi tadi,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk juga meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menaiktarafkan longkang di kawasan rumah mereka terutamanya Lorong Raja Mahdi yang didakwa menjadi punca banjir.

Malah, mereka turut meminta DBKL melakukan pemantauan dan pembersihan di longkang-longkang dengan kerap bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
-Malaysiapost