Pembukaan sekolah: KPM tak pernah ambil kira pandangan kami – Maszlee

0
2

[PARLIMEN] AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik membidas Kementerian Pendidikan (KPM) yang didakwa tidak pernah mengambil kira pandangan pembangkang berhubung pengoperasian sekolah.

Katanya, KPM yang dipimpin Menteri Kanan, Datuk Dr Radzi Jidin telah membuat keputusan sendiri dan tidak membuka ruang untuk pembangkang menyuarakan pendapat dalam menentukan kaedah terbaik yang patut diguna pakai untuk pengoperasian sekolah.

Bekas Menteri Pendidikan itu tampil menyuarakan rasa tidak puas hati pihak-pihak berkaitan terhadap beberapa keputusan KPM dalam menentukan pembukaan mahu pun penutupan sekolah sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“Saya juga telah diminta oleh ramai, sama ada oleh pendidik atau ibu bapa dan juga rakyat, untuk membawa isu pengoperasian seperti pembukaan dan penutupan sekolah terutamanya pada bulan hadapan.

“Namun apa pun pandangan dibawa dalam dewan ini, pihak KPM telah membuat keputusannya dan tidak pernah mengambil kira pandangan kami,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Bebas berharap KPM haruslah memikirkan nasib para guru agar tidak terbeban dengan pelbagai tugasan.

“Bagaimanapun, apa pun keputusan KPM, berhubung isu tersebut, harapan saya usahlah dibebankan para guru dengan tugasan bertindan, laporan tidak berkesudahan, dan pelbagai keputusan yang tidak bersumberkan daripada tugas hakiki mereka.

“Berikan kepercayaan kepada pihak sekolah dan biar ada komunikasi jelas antara pihak sekolah dengan ibu bapa agar ibu bapa tidak berterusan pening kepala dan keliru,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here