[PARLIMEN] KERAJAAN perlu menetapkan kriteria tertentu sebelum melantik mana-mana individu ke apa-apa jawatan bertaraf menteri, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ia bertujuan memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja dilantik dan bukannya sebagai ‘sogokan’ untuk mendapatkan sokongan.
“Sekarang ini kita lihat satu amalan yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan, ramai orang dilantik ke jawatan tertentu yang tiada dalam Perlembagaan, bila dilantik diberi pula taraf menteri.
“Apa yang kita tahu bila taraf menteri diberi, dia akan dapat segala kemudahan yang diberi kepada menteri, ini satu jenis sogokan juga,” katanya dalam perbahasan titah diraja hari ini.
Dr Mahathir mengakui ketika menjadi Perdana Menteri, beliau juga melantik seseorang bertaraf menteri tetapi berdasarkan kepakaran dalam bidang tertentu.
“Saya mengaku semasa jadi Perdana Menteri, saya juga lantik orang berjawatan (taraf) menteri, tapi diberi kepada seorang yang sudah bersara dari politik, sebab tugas dan kepakaran dalam bidang tertentu.
“Sepatutnya ada kriteria tertentu sebelum lantik seseorang bertaraf menteri, jika tidak ia seakan sogokan kepada penyokong kerajaan, ia mesti ditamatkan dalam reformasi yang disebut kerajaan,” katanya.
Pada 4 September lalu, kerajaan mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang bertaraf menteri.
Sebelum itu, kerajaan bersetuju menyambung pelantikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Asia Tengah bertaraf menteri.
Turut disambung ialah pelantikan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur.
Pada 5 Ogos lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas kepada Muhyiddin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos.
Pada 14 September lalu, media melaporkan, walaupun hanya 11 hari bertugas sebagai penasihat bertaraf menteri kepada Perdana Menteri terdahulu, Ahmad Faizal layak menerima bayaran secara pro rata dan gaji penuh sebulan berjumlah RM27,227.20. – Malaysiapost

