Najib sokong langkah kerajaan sediakan Pakej Penjagaan Covid-19

0
2
Kredit FB

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyokong usaha kerajaan untuk menyediakan Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) kepada keluarga B40 membabitkan peruntukan berjumlah RM471.6 juta.

Beliau berkata, PPC yang akan diagihkan mengandungi empat keping pek pelitup muka guna semula, empat kit ujian kendiri Covid-19, satu oximeter, satu termometer dan risalah panduan penggunaan serta info kesihatan.

“Akhirnya, dibuat juga benda simple macam ini yang mampu menyelamatkan ramai nyawa dengan menurunkan kes kematian di luar hospital (BID atau Bought in Dead).

“Ini kerana pesakit Covid mungkin akan mengalami keadaan “Happy Hypoxia” dan tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM471.6 juta bagi pemberian PPC kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga bebas jangkitan wabak berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi pek pelitup muka guna semula (4 keping setiap keluarga); kit ujian kendiri Covid-19 (4 kit setiap keluarga); satu pulse oximeter serta satu termometer.

Mengulas lanjut, Najib berkata mereka yang mengalami “Happy Hypoxia” masih kelihatan tenang dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen mereka rendah atau semakin jatuh.

Katanya, ia boleh menjadi pembunuh senyap kerana apabila masalah kekurangan oksigen ini tidak dapat dikesan dan dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia.

“Ini telah mengakibatkan ramai pesakit Covid maut di luar hospital. Sebab itu, penggunaan peralatan “pulse oximeter” ini perlu diwajibkan.

“Tapi telah terlambat bagi ribuan pesakit yang terkorban dan diklasifikasi sebagai BID,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here